Khamis, 9 April 2009

Najib Ada Auranya Tersendiri...SUP Kementerian Wilayah Untuk Pemimpin Labuan..

Hampir semua ramalan yang berlegar dari mulut ke mulut, menggunakan sms dan sebagainya berhubung dengan barisan kabinet Najib tidak tepat. Ini membuktikan Perdana Menteri ke 6 ini ada auranya tersendiri.
Perlantikan empat pemimpin Sabah sebagai menteri penuh dan lima sebagai Timbalan Menteri, membuktikan YAB Dato Seri Najib mendengar suara pemimpin dari Borneo yang lantang memperjuangkan maruah kepimpinan UMNO dalam mana-mana pilihanraya dan pemilihan parti. Status Negeri Di Bawah Bayu dan Bumi Kenyelang sebagai kubu kuat BN pada pilihanraya yang akan datang tidak mungkin tercalar dengan jumlah perlantikan pemimpin Sabah dan Sarawak mengangotai Kabinet Dato Seri Najib.
Kementerian Wilayah adalah antara faktor penting kepada rakyat disini untuk mengukur prestasi BN dalam tempoh lima tahun ini. Melantik Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai dan mengekalkan Timbalan Menteri diharap dapat mengembalikan keyakinan rakyat bandaraya kepada kepimpinan BN. Namun bagi warga Labuan, kami mengharapkan agar jawatan Setiausaha Perliman bagi Kementerian Wilayah diberikan kepada pemimpin UMNO atau dikalangan pemimpin parti komponen BN Labuan. Perlantikan ini adalah penting untuk menyelesaikan krisis kepimpinan BN di Bumi Labuan yang sehingga kini masih belum ada penghujungnya dalam mencari orang nombor satu di Labuan.
Natijahnya, Najib ada auranya tersendiri. Bagi kami warga Labuan, mengharapkan aura ini untuk merubah senario politik di bumi Labuan. Perbelahan dikalangan kepimpinan UMNO dan BN Labuan tidak boleh dipandang sepi. Jentera pengempur Parti Pak Anwar sudah mula mengempur kawasan-kawasan penting, untuk menambah perpecahan ini. Hanya dengan memberikan status PEMIMPIN NO SATU DI LABUAN kepada salah seorang pemimpin Labuan akan merubah situasi ini.