Isnin, 13 September 2010

Aidilfitri Eratkan Hubungan Antara Kaum - Ahli Parlimen Labuan

Sambutan Hari Raya Aidilfitri telah mengeratkan hubungan antara pelbagai kaum dan agama di negara ini, kata Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal.
Beliau berkata tradisi mengadakan rumah terbuka merupakan amalan yang baik untuk memastikan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa mengunjungi rakan yang beragama Islam. Katanya, pada hari lebaran itulah rakyat melupakan seketika perbezaan agama dan bangsa untuk bersama-sama meraikan sambutan rumah terbuka yang diadakan saban tahun.
“ Masyarakat pelbagai agama dan bangsa turut meraikan hari lebaran yang disambut oleh orang Islam di negara ini dengan mengunjungi rumah terbuka yang diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan persahabatan dan persaudaraan, “ katanya ditemui pada majlis rumah terbuka Pengerusi Masjid Al-Muzakirullah, Haji Othman Mahali di Kampung Lubok Temiang pada hari raya ketiga.
Turut hadir isteri Yussof, datin Isfahani Ishak, Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Yunus Kurus, Yang DiPertua DPMM Labuan, Datuk Yussof Mohamad, Pengarah Urusan LLPM, Alias Abd Rahman, Ketua USIA Labuan, Mohd Ali Bledram, Ketua PBS Labuan, Peter Mak dan Ketua Pemuda Umno, Mohd Raffi Ali Hassan serta Ketua Kampung Lubok Temiang, Alias Husin.
Rumah terbuka itu lebih meriah dengan kehadiran sanak saudara dan rakan-rakan dari Semenanjung, Sabah dan Labuan serta Brunei Darussalam.
Othman yang juga bekas guru bersama 6 anak dan 18 cucu meraikan kedatangan tetamu dari pukul 12 tengah hari hingga 5.00 petang dengan pelbagai hidangan makanan dan kuih-muih.
Yussof berkata melalui amalan rumah terbuka itu juga telah menemukan sanak saudara dan sahabat handai dari Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Brunei yang telah lama terpisah.

Gagak .... bahan ni dikirimkan oleh rakan Azri Onn.. dapatkan berita penuhnya di Utusan Borneo.

Tiada ulasan: